Baiklah, saya akan menyambung artikel yang saya hantar di dalam blog ini berkaitan dengan beberapa kesalahan yang dilakukan oleh pengusaha internet. Ini adalah penting demi menjamin perniagaan bagi seorang pengusaha agar berjalan dengan lancar dan bertahan lama dan dapat meningkatkan hasil pendapatan bagi seorang pengusaha internet.
Komputer yang selalu mengalami kerosakan semasa perniagaan dijalankan adalah mimpi ngeri bagi seorang pengusaha internet. Ini membolehkan perniagaannya terancam kerana pelanggan tidak rasa selesa dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Komputer yang perlu selalu 'reboot' akan menyebabkan pelanggan merasakan bahawa komputer yang digunakannya itu mencuri masa yang telah pun di'beli'nya. Sungguhpun pengusaha akan memindahkannya ke komputer yang baru, namun tidak bermakna pelanggan mendapat jaminan bahawa komputer di premis tersebut dapat digunakan 100%. Ini akan menyebabkan pelanggan akan pergi ke premis yang dirasakan dapat memberikannya perkhidmatan yang selesa.
Pengusaha harus memastikan bahawa perkakas komputer sentiasa dalam keadaan baik dan dikeluarkan oleh pengilang yang terbaik. Walaupun perkakas yang digunakan oleh pengusaha tersebut sentiasa dikemaskini, namun harus diingat bahawa pembuat perkakas komputer harus juga datang daripada pengilang yang terbaik kerana kualiti dan jaminan yang terbaik.
Komputer murah yang mempunyai 'motherboard' yang diintegrasikan dengan 'built in' VGA dan bunyi selalunya akan menyebabkan komputer selalu 'crash'. Lebih teruk lagi apabila komputer tersebut hanya boleh bertahan dalam masa sebulan sebaik sahaja anda baru memulakan perniagaan anda. Daripada 35 buah komputer, setelah sebulan hanya 20 yang boleh digunakan. Bukankah kita seharusnya memaksimumkan penggunaan komputer demi mendapatkan pendapatan yang maksimum? Seharusnya dalam masa 6 bulan daripada perniagaan anda bermula, pusingan modal seharusnya ditumpukan kepada bil-bil dan sewaan sahaja dan bukannya pembaikan komputer. Ini adalah kerana pulang modal selalunya berlaku dalam masa 10 hingga 12 bulan selepas anda memulakan perniagaan.
Jikalau boleh, gunakan komputer yang datangnya daripada pembuat komputer terkemuka seperti HP, Dell, atau pun Compaq. Namun jikalau belanjawan anda rendah, adalah lebih baik menggunakan 'processor' dan perkakas lain yang terkenal seperti Intel, ATI, NVidia, Gigabyte, dan lain-lain lagi. Tetapi sekali lagi diingatkan bahawa anda seharusnya meninggikan belanjawan anda demi perniagaan anda agar pulangannya berbaloi.